"Harta benda dan anak pinak
itu perhiasan penghidupan dunia, tetapi amal kebajikan itu lebih baik
ganjarannya di sisi Tuhan."
(Surah al-Kahfi, ayat 46)
Oleh kerana lupa kepada Allah SWT
(yang memberi harta), maka mereka mencari, memburu, mengusahakan dan mengumpul
harta sebanyak-banyaknya seolah-olah hidup di dunia ini tidak berakhir
dan dapat hidup bersama harta yang dimilikinya.
Sikap sebegini sebenarnya mengundang
kutukan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Kecelakaanlah bagi tiap-tiap
orang yang pengumpat, menghina, yang mengumpulkan harta dan menghitungnya,
disangkanya hartanya itu mengekalkannya."
(Surah al-Humazah, ayat 1-3)
Sesungguhnya Islam tidak pernah
sama sekali menghalang seseorang itu mencari harta. Malah, itu adalah
keperluan yang dituntut oleh sesiapapun demi kehidupan yang sewajarnya.
Cari dan burulah seberapa banyak harta, namun perlu diingat bahawa penentu
segala kejayaan dan kekayaan bukan kerana kepandaian seseorang atau kerajinan
dan ketekunan bekerja tetapi semuanya ketentuan Allah SWT semata-mata.
Bila ada keyakinan yang mantap,
sudah tentu hati akan sentiasa ingat kepada Allah yang Maha Pemberi Kurnia
dan kehidupan di akhirat nanti. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan carilah apa yang diberikan
Allah kepada kamu di negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagian
kamu daripada (kenikmatan) dunia, dan berbuatlah baik sebagaimana Allah
berbuat baik kepada kamu."
(Surah al-Qashas, ayat 77)
Sebagai seorang Muslim, hendaklah
sentiasa berhati-hati dalam mencari harta kekayaan dan apabila sudah diperoleh,
maka harta itu hendaklah diurus sebaiknya supaya tidak mendapat kemurkaan
Allah SWT. Hal menguruskan harta benda ini, Mohammad Ali Al-Hamidi dalam
bukunya Jalan Hidup Muslim mengklasifikasikan manusia kepada empat golongan
iaitu kikir atau kedekut dengan hartanya, boros mengguna hartanya, sombong
dengan hartanya dan cermat, hemat serta teratur dalam mengurus hartanya.
Islam hanya membenarkan manusia
berada dalam golongan keempat saja. Lantaran golongan itu saja yang menyedari
dan mengakui bahawa harta benda dimiliki sebenarnya adalah kurniaan Allah
SWT. Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang sedar hakikat itu seharusnya
melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT dengan melipatgandakan ketaatan
kepada-Nya dan memperguna harta di jalan yang diredai Allah SWT.
Al-Quran juga menyatakan bahawa
harta yang dimiliki hendaklah dikeluarkan sebahagiannya untuk keperluan
orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman!
Nafkahkanlah sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum
datangnya hari di mana tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan
yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah, golongan
orang yang zalim."
(Surah al-Baqarah, ayat 254)
Menafkahkan harta bermakna kita
membersihkan harta daripada kepunyaan orang lain dan mengikis sifat bakhil,
kedekut, mementingkan diri sendiri dan sombong.
Rasulullah SAW menerangkan melalui
sabda baginda yang bermaksud:
"Siapa yang mengeluarkan zakat
dan menjamu tamu dan menunaikan amanat, maka ia telah terpelihara dari
kebakhilan dirinya."
Masih ada segelintir umat Islam
yang enggan mengeluarkan dan menghulurkan sebahagian hartanya kepada orang
lain atau pihak yang memerlukan. Pada anggapan mereka, apabila harta diberikan
kepada orang lain, hartanya akan susut, terkikis dan habis. Anggapan itu
salah sama sekali. Yakinlah, bahawa apabila harta dikeluarkan di jalan
Allah SWT dengan penuh keikhlasan, Allah akan melipat gandakan lagi hartanya.
Demikianlah janji Allah SWT yang tidak boleh diragui. Allah SWT berfirman
yang bermaksud:
"Bandingan orang-orang yang
membelanjakan hartanya di jalan Allah, adalah seperti satu biji (benih)
yang menumbuhkan tujuh tangkai, di tiap-tiap satu tangkai ada seratus
biji, dan Allah akan menggandakan kepada siapa yang Ia kehendaki; dan
Allah itu Luas (pemberian-Nya), amat Mengetahui."
(Surah al-Baqarah, ayat 261)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud:
"Tidak akan berkurang harta
kerana sedekah dan tiada seseorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman
melainkan Allah menambah kemuliaannya."
Bagi orang yang percaya dengan
janji Allah SWT, sudah tentu berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dengan
harta dimilikinya dengan cara bersedekah, mengeluarkan zakat, membantu
kaum fakir miskin atau anak yatim serta dalam hal memberi manfaat yang
tidak bertentangan syariat Islam. Namun perlu diingat, dalam memberi atau
bersedekah, mestilah sesuatu yang baik dan yang kita sayangi. Kalau memberi
sesuatu kepada orang lain yang sudah tidak dapat dipakai atau dimakan,
maka kesannya sangat buruk. Si penerima tentunya merungut dan tidak senang
hati. Dengan itu juga kemungkinan besar hubungan antara kedua belah pihak
menjadi semakin renggang dan terputus. Lantaran itu, Allah mengarahkan
supaya bersedekah sesuatu yang elok dan si penerima merasa gembira.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu pilih yang
tidak baik buat kamu dermakan dia pada hal kamu tidak akan menerima dia
melainkan dengan memejam mata padanya, dan ketahuilah bahawa Allah itu
Kaya, Terpuji."
(Surah al-Baqarah, ayat 267)
Di samping itu, dalam menggunakan
harta untuk kepentingan peribadi atau keluarga, Islam melarang keras seseorang
itu bersifat membazir atau boros. Sifat demikian tidak menunjukkan rasa
syukur kepada Allah, mensia-siakan harta tanpa memberi faedah sedikitpun
serta terkeluar daripada akhlak seorang Muslim. Orang yang suka membazirkan
hartanya, bermakna sudah mengikut kehendak hawa nafsu serta termakan bisikan
syaitan. Akibatnya, mendapat kemurkaan Allah seperti mana firman-Nya yang
bermaksud:
"Makanlah yang baik-baik daripada
apa yang telah Kami berikan rezeki kepadamu, dan janganlah melampaui batas.
Sebab hal yang demikian menyebabkan murka-Ku kepadamu. Barang siapa yang
mendapat murka-Ku, nescaya dia menjadi binasa."
(Surah Toha, ayat 81)
Orang yang beriman dan mempunyai
harta seharusnya bijak mengguna dan menyalurkannya dalam rangka beribadat,
memburu pahala dan keredaan Allah SWT. Janganlah kita menjadi orang yang
dimurkai kerana mendapatkan harta dan menyalurkannya pada tempat yang
tidak diredai Allah SWT.
Disediakan Oleh :-
Ustaz Noorzakry Bin Norjamal
Penolong Pengurus Dakwah
Bahagian Perhubungan Korporat &
Pemasaran
Pusat Zakat Melaka