Pemakaian
emas dikalangan wanita sebagai perhiasan sudah menjadi budaya masyarakat
Malaysia sejak turun-temurun. Malah, kini wanita Malaysia semakin bijak
dengan memilikinya, bukan sahaja dijadikan perhiasan tetapi juga untuk
tujuan pelaburan, kegunaan ketika terdesak ataupun sebagai salah satu
bentuk simpanan dan sebagainya.
Zakat emas dan perak merupakan
zakat baraang kemas dan perhiasan wanita. Zakat yang dikeluarkan ke atas
emas bergantung sama ada emas yang dipakai ataupun yang disimpan yang
mana telah cukup haulnya.
Sepertimana Firman Allah s.w.t
:
"Dan mereka yang menyimpan emas
dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat)
maka gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih, pada hari mereka dibakar
di dalam neraka jahanam dan dibakar muka mereka, rusuk dan seraya berkata
kepadanya, inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka
rasailah pembalasan dari harta kamu simpan dahulu".
(Surah At-Taubah ayat 34 & 35)
Justeru itu, Pusat Zakat Melaka
(PZM) sedang giat menjalankan kempen mengenai tuntutan menunaikan zakat,
bukan sahaja zakat fitrah dan perniagaan tetapi juga zakat emas dan harta.
Selain itu juga, PZM ingin mewujudkan keprihatinan dan membangkitkan semula
kesedaran terhadap tanggungjawab menunaikan zakat emas.
Kadar zakat emas dihadkan berbeza
di setiap negeri bergantung kepada taraf hidup ataupun kadar kebiasaan
pemakaian di sesuatu tempat. Di Melaka, kadar uruf atau harga emas dihadkan
hingga RM 5,000 dan mereka yang memiliki emas kurang daripada jumlah itu
tidak wajib membayar zakat. Jika melebihi kadar uruf maka zakatnya ialah
2.5 % atas nilai emas di simpan setahun yang melebihi daripada kadar
uruf itu.
Pengiraan zakat emas bukan hanya
membabitkan barangan kemas sama ada yang dipakai harian atau disimpan
tetapi apa sahaja barangan dalam bentuk emas seperti jam, jongkong, loket,
butang, keronsang dan pin rambut. Manakala antara syarat wajib menunaikan
zakat emas ialah individu yang memiliki cukup nisab, haul dan milik sempurna
sama ada lelaki dan perempuan. Dan pembayaran zakat ini hendaklah sebaik-baiknya
dibuat melalui institusi zakat kerana wang zakat itu akan dikumpul dalam
dana yang boleh berkembang apabila diberi kepada golongan yang layak.
Disediakan Oleh :-
Bahagian Perhubungan Korporat &
Pemasaran
Pusat Zakat Melaka
Hakcipta Terpelihara
Oleh Pusat Zakat Melaka - 2008ã