Kesusahan,
kepahitan dan kepayahan yang masih dirasai oleh segelintir masyarakat
hari ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh masyarakat Islam masa kini.
Namun begitu adakah kepayahan yang dirasai oleh mereka dapat membawa seribu
keinsafan kepada golongan yang kaya menumpul harta kekayaan?. Kedukaan
dan kesengsaraan yang mereka lalui seharusnya dijadikan pedoman dan panduan
kepada kita dalam mengejar kemewahan hidup.
Keadaan setiap yang hidup di bumi
Allah ini tidak sama gaya dan lagaknya. Belum pasti apa yang diinginkan
dapat dikecapi. Lupa, alpa dan leka telah menghukum golongan yang susah
ini hidup lebih melarat. Seharusnya masyarakat Islam ini sentiasa bersama
dalam mengharungi hidup, ibarat kata pepatah "Yang Berat Sama Dipikul,
Yang Ringan Sama Dijinjing". Dengan kesedaran ini secara tidak langsung
kita dapat membantu meringankan beban insan-insan yang amat memerlukan.
Hikmah yang terselindung di sebalik
pengeluaran zakat pastinya memberi kesedaran sekiranya direnung dengan
hati yang ikhlas. Golongan fakir mempunyai jaminan dan haknya tidak lagi
diabaikan begitu sahaja. Asnaf fakir kebiasaannya meminta daripada pemerintah,
bukan daripada peribadi yang kaya demi memelihara kehormatan dan air mukanya.
Ia juga didorong rasa malu untuk meminta-minta dan memelihara perasaan
dan hatinya daripada terluka akibat daripada kata-kata yang menyakitkan.
Selain itu, kurang pengetahuan
orang ramai dalam urusan agihan zakat menjadikan satu kesilapan
pemahaman ke atas maklumat menyebabkan ramai di kalangan golongan kaya
yang memberikan zakat kepada orang fakir sahaja, sementara golongan lain
yang berhak, dilupakan. Sesungguhnya zakat itu bukanlah khusus kepada
asnaf fakir, miskin dan orang yang memperjuangkan agama sahaja, tetapi
adalah lebih luas lagi yang berkait dengan kemaslahatan kaum muslimin
seperti golongan mualaf, belenggu hutang dan hal ehwal pendidikan.
Kemakmuran hasil langit dan bumi
dengan keadilan pemerintahannya, menyebabkan orang-orang kaya menjadi
susah untuk mencari orang miskin untuk diberikan zakat semasa zaman Khalifah
Umar Abdul Aziz. Sepanjang tempoh itu, umat Islam sentiasa menjadi umat
terbaik, bermaruah dan dihormati oleh lawan dan kawan. Seterusnya kemewahan
hidup, kemudiannya melekakan umat Islam dari menegakkan tuntutan agama.
Ketinggian ilmu yang memuncak telah membawa sebahagian umat Islam membuang
masa dalam soal-soal remeh yang berakhir dengan perbalahan sesama sendiri
dan akhirnya memusnahkan kegemilangan era pemerintahan kerajaan Uthmaniah.
Disediakan Oleh :-
Bahagian Perhubungan Korporat &
Pemasaran
Pusat Zakat Melaka
Hakcipta Terpelihara
Oleh Pusat Zakat Melaka - 2008ã