MENGUTAMAKAN  PERKARA YANG LEBIH PENTING DALAM HIDUP
 
Sejarah membuktikan zakat merupakan perkara besar yang perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam. Selain menjadi rukun Islam yang ketiga, zakat merupakan elemen ekonomi dan jalinan ukhuwah sesama manusia (hablun minannas). Zakat wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam tanpa gagal apabila cukup segala syarat-syaratnya.

Kepentingan zakat ini terbukti apabila Saidina Abu Bakar as-Siddiq, khalifah Islam yang pertama mengisytiharkan perang terhadap golongan yang enggan atau ingkar membayar zakat.

Senario tersebut seolah-olah dilupakan dan berulang semula dewasa ini. Masyarakat lebih takut dan bimbang jika tidak membayar cukai pendapatan daripada tidak mengeluarkan zakat itu sendiri sedangkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi begitu kerap

“Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”

Jika diteliti dan dihitung, tidak kurang daripada 82 ayat dalam al-Quran yang menggandingkan suruhan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Demikianlah penting dan kuatnya perintah Allah SWT terhadap suruhan mengeluarkan zakat bagi mereka yang mampu dan cukup segala syarat-syaratnya.

Persoalannya, mengapa masih ramai di kalangan umat Islam yang cuai serta bersikap acuh tak acuh dalam mengeluarkan zakat dan kenapa perkara ini berlaku?

Sebagai respons awal terhadap persoalan di atas, terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti menjadi kekangan terhadap penguatkuasaan undang-undang zakat di Malaysia.

Pertama, gelagat kepatuhan zakat umat Islam yang masih rendah dan kurangnya kesedaran terhadap pentingnya amalan zakat dalam menjana ekonomi ummah. Umat Islam perlu diberi kefahaman yang mendalam bahawa zakat bukan sekadar mengeluarkan sejumlah wang kepada pihak berkuasa agama tetapi menyelusuri lebih jauh daripada itu, ia merupakan pembahagian kekayaan secara adil dan saksama dalam masyarakat.

Teorinya amat mudah, jika ada orang kaya (mereka yang mendapat hak/harta yang lebih) bermakna di situ juga ada orang miskin (mereka yang mendapat hak/harta yang kurang) yang memerlukan bantuan dan pembelaan.

Bagi menyeimbangkan perkara ini, Islam menyuruh agar orang kaya yang mendapat hak yang lebih tadi mengeluarkan sebahagian dari hartanya dalam bentuk zakat untuk diberi kepada golongan fakir dan miskin. Kesedaran sebegini akan melahirkan gelagat kepatuhan zakat secara semula jadi tanpa sebarang paksaan.

Kedua, walaupun mempunyai peruntukan yang lengkap termasuk peruntukan berkaitan kesalahan dan penalti, ia tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya akibat masalah-masalah tertentu seperti kekangan kakitangan, prasarana, kemahiran anggota penguatkuasa dan struktur pentadbiran zakat yang tidak begitu jelas.

Di negeri-negeri lain, mereka hanya mempunyai Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri yang hanya mempunyai dua peruntukan berhubung zakat dan fitrah iaitu kuasa majlis memungut zakat dan fitrah daripada orang Islam bagi pihak Sultan dan kuasa untuk membuat peraturan berhubung dengan pungutan, pentadbiran dan pembahagian zakat dan fitrah.

Kini telah sampai masanya suatu akta/enakmen khusus berkaitan zakat & fitrah digubal dan dikuatkuasakan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Rasionalnya mudah iaitu bagi memartabatkan institusi zakat agar lebih berkembang, sistematik, berdaya maju dan berkesan dalam membangunkan ekonomi ummah.

Ketiga, cabaran dari aspek penguatkuasaan undang-undang zakat secara serius terhadap mereka yang cuai dan ingkar dalam membayar zakat. Memandangkan zakat dan hal ehwal berkaitan Agama Islam terletak di bawah Bidang Kuasa Negeri, maka aspek penguatkuasaan dan pelaksanaannya juga adalah tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa negeri.

Oleh itu, undang-undang zakat yang bakal dikuatkuasakan kelak perlu digubal dan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan agar ia boleh dilaksana dan dikuatkuasakan.

Tiada gunanya kita menggubal sesuatu undang-undang tetapi akhirnya tidak menatijahkan sesuatu yang baik akibat tentangan dan protes masyarakat. Perlu diingat, Islam dan hukum Islam sepatutnya menjadi titik penyatuan dan asas kekuatan umat Islam dan bukannya titik perpecahan.

Keempat, cabaran dari aspek penyelarasan dan penyeragaman undang-undang zakat di Malaysia. Sebagai makluman, Kerajaan Persekutuan memang berhasrat untuk menyelaras dan menyeragamkan aspek pentadbiran dan kutipan zakat di Malaysia agar ia dapat diurus dengan lebih berkesan, sistematik dan terancang bagi memberi impak dan manfaat yang lebih baik kepada masyarakat.

Usaha-usaha ke arah penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah amnya dan zakat khususnya memang diberi penekanan oleh pihak Kerajaan. Ini jelas dilihat dari segi penubuhan agensi-agensi Persekutuan seperti Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Seksyen Syariah di Jabatan Peguam Negara.

Akan tetapi beberapa halangan dari segi undang-undang dan pentadbiran perlulah diatasi terlebih dahulu sebelum sebarang usaha untuk menyeragam dan menyelaraskan urusan kutipan dan pentadbiran zakat dapat direalisasikan.

Proses ini perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan penuh diplomasi kerana ia melibatkan sensitiviti institusi Raja dan sensitiviti Kerajaan Negeri itu sendiri.

Akhir sekali, berdasarkan cerakinan di atas, jelaslah betapa zakat merupakan perkara asas yang perlu diberi perhatian serius ke arah kemajuan ummah atas prinsip pembahagian kekayaan secara adil dan saksama. Kalau pun tidak menjamin kemewahan, sekurang-kurangnya membantu membina kehidupan yang lebih baik, selesa dan bermakna di dunia atas prinsip tolong-menolong dan persaudaraan Islam.

Oleh itu, usaha berterusan perlu digembeleng bagi meningkatkan kesedaran demi menggalakkan umat Islam membayar zakat. Jika prinsip dan falsafah ini benar-benar dihayati oleh seluruh umat Islam di dunia, maka tidak akan terjadi kemiskinan akibat kekurangan makanan khususnya dalam kalangan negara-negara Islam. Maka amat wajarlah prinsip zakat ini didukung dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Mungkin sekarang sudah sampai masanya untuk kita menggubal suatu sistem perundangan yang lengkap agar tindakan terhadap umat Islam yang ingkar atau enggan membayar zakat, seperti yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap individu/syarikat yang gagal membayar cukai dapat dilaksanakan dan ditangani sewajarnya.


Disediakan oleh :

Ustaz Noorzakry Bin Norjamal
Penolong Pengurus Dakwah
Bahagian Perhubungan Korporat & Pemasaran
Pusat Zakat Melaka


 
 
 
 
 
Hakcipta Terpelihara Oleh Pusat Zakat Melaka - 2008ã